Saturday, July 26, 2008





Kem kepimpinan pengawas asrama sekolah rendah peringkat negeri Sarawak 2008

Pada tahun ini, bahagian Mukah telah memberi penghormatan kepada daerah Matu dan Dalat untuk menghantar peserta ke Kem pengawas asrama sekolah rendah peringkat bahagian Sarawak yang diadakan dari 23 hingga 26 Julai 2008 yang berlangsung di SK Datuk Bandar Debak, Betong.

Setiap bahagian menghantar 8 orang peserta yang terdiri daripada 4 peserta lelaki dan 4 peserta perempuan. Tuan rumah kem diberi keistimewaan untuk menghantar seramai 20 orang peserta.

Sekolah Sk Kuala matu menghantar 2 orang peserta dari tahun 5 iaitu Amir Asyraf bin Noh dan Norsakinah bt Kefni. Daerah Matu juga menghantar 2 orang lagi peserta iaitu dari SK Bruan Mapal iaitu Norazwanny bt Abdullah dan Mohd Rozie bin Zainie manakala daerah Dalat menghantar 2 orang peserta perempuan dan 2 orang peserta lelaki(Paula, Nancy, Peter dan Bennadette).

Pelbagai aktiviti disediakan oleh pihak penganjur perkhemahan seperti aktiviti ice breaking, tautan kasih, latihan dalam kumpulan, dan lain-lain. Mula-mula, semua murid nampak malu dan kekok untuk melakukan aktiviti bersama murid-murid yang baru dikenali.

Murid-murid yang datang dari seluruh pelusuk negeri Sarawak yang juga terdiri dari pelbagai kaum, etnik, agama, keturunan dan latar belakang berkampung di SK Datuk Bandar Debak selama 4 hari 3 malam. Saya difahamkan terdapat 9 kaum yang digabungkan dalam 10 kumpulan, kaum Melayu, Iban, Bidayuh, Cina, Melanau, Kayan, Bisaya, Berawan, Kenyah.

Mereka disatukan dengan satu bahasa iaitu bahasa Malaysia.

Dalam kem ini, pelbagai kerenah dan tingkah laku yang boleh dilihat. Ada pengawas yang menyerlah dan berdaya kepimpinan, ada juga yang nampak pendiam tetapi berpotensi menjadi pengawas yang tegas dan berkeyakinan. Antara peserta yang menyerlah dalam kem kali ini adalah peserta dari bahagian Sarikei yang juga merupakan peserta terbaik kem, adik Beti anak Jenau. Umurnya baru 10 tahun, bertubuh kecil dan genit sahaja tetapi bersuara lantang, berani dan bersifat kepimpinan yang tinggi. Beti menjadi kegemaran fasilitator-fasilitator kem. Ada saja dia dipanggil untuk bercakap di depan dan membuat pengucapan spontan. Mulutnya yang comel itu pandai saja menjawab soalan dan bercerita tentang apa-apa saja yang diajukan kepadanya, tambahan lagi dia tidak mudah marah.

Perkhemahan ini berakhir dengan jayanya setelah dirasmikan penutupannya oleh Pegawai Pelajaran Gabungan Betong Encik Masli bin Rosli pada malam 25hb Julai 2008. apa yang murid-murid sekalian dapat dari perkhemahan kali ini menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh semua yang menyertai kem ini.

No comments: