Tuesday, July 29, 2008

Tips Perbaiki Solat untuk Wanita

Topik adalah mengenai adab2 solat. Secara ringkasnya, sebelum memulakan solat, penceramah mencadangkan kita mengambil 2 minit untuk "menyediakan diri" sebelum menghadap Yang Esa, 2 perkara yg elok dilakukan sebelum berniat untuk solat... sewaktu kita berdiri tegak sebelum lafaz niat :

1. Minit pertama - Membangkitkan rasa KEHAMBAAN dalam diri kita. Kenangkan kembali dosa-dosa kita, betapa kerdil dan hinanya kita, seolah-olah tak layak untuk diberi peluang menghadap yang Esa. Pendek kata, kutuk diri sendiri dan menyesallah.

2. Minit kedua - Membangkitkan rasa BERTUHAN. Betapa kita diciptakan oleh yang Esa untuk beribadat kepadaNya. Kenangkan betapa bersyukurnya kita dijadikan sebagai seorang Islam, mempunyai Tuhan yang begitu menyayangi hamba-hambanya yang hina ini lebih daripada seorg ibu menyayangi anaknya.Setelah dilakukan kedua-dua perkara ni, barulah kita niat solat dan mengangkat takbir. Berniatlah dalam keadaan berdiri tegak, bukan sambil membetul-betulkan kain sembahyang, telekung dan sebagainya. Fokus. Setelah bertakbir, penceramah menunjukkan pula cara-cara solat yang betul, penuh adab dan sopan, sesuai dgn keperibadian kita sebagai wanita dan selayak-layaknya adab untuk menghadap Tuhan.

1) Mengangkat takbir - ada 3 cara mengangkat takbiri. Dengan meletakkan kedua2 ibu jari di bawah cuping telingaii. Dengan meletakkan kedua2 jari telunjuk di bawah cuping telingaiii. Mengangkat kedua2 tgn sehingga ke paras dada (bukan telinga).Perlu diingatkan, kedua-kedua lengan hendaklah dirapatkan ke badan. Menurut penceramah, syaitan-syaitan yang berupa kambing hitam gemar bergayut-bergayut dicelah lengan (bawah ketiak) untuk mengganggu solat kita, oleh itu sekiranya kedua-dua lengan dirapatkan, tiada ruang untuk mereka.

2) Qiyyam - cara qiyyam yg betul ialah memposisikan tangan kiri ke atas sikit dari pusat (bukan menutup pusat) sambil ibu jari dihalakan ke atas, seolah-olah menyentuh ulu hati. Tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri agak-agak selesa. Pastikan kedua-kedua lengan adalah rapat mendekati badan.

3) Rukuk - peralihan dari posisi qiyyam kepada rukuk dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Kedua-dua tangan melurut peha dengan perlahan dan berhenti di atas lutut. Pastikan badan kita di dlm posisi sudut tepat (90 darjah). Siku juga dirapatkan ke badan dan sudut tepat.

4) 'Iktidal - tegakkan badan semasa membaca "Sami Allahuliman hamidah..." dan mengangkat tangan posisi takbir ketika membaca "rabbanaa lakal hamdu"

5) Sujud - sujud dari segi istilah ialah "penyerahan diri yang tertinggi". Tertib sujud ialah dgn meletakkan kedua-dua lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian bawah sedikit dari ibu jari, di mana ada sedikit ruang terbuka di antara kedua-dua tangan dan di situlah dahi diletakkan. Jangan sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yang 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua belah kaki (setakat jari sahaja). Ibu jari kaki dilentur sedikit agar menghala ke kiblat.

6) Duduk antara 2 sujud - ada 2 cara :i. Papan punggung diletakkan di atas kedua2 kakiii. Papan punggung lebih diberatkan atas kaki kiri dan kaki kanan dilentur agar ibu jari menghadap kiblat.

7) Bangun selepas sujud - duduk sebentar sebelum bangun, bukan dalam keadaan bangun menungging. Sekiranya menghadapi kesulitan untuk bangun, gunalah tangan kanan untuk membantu kita bangun atau kedua-dua tangan.

8) Tahiyyat - mengangkat telunjuk pada ketika menyebut ".... illallahh... " ( "laa ilaa ha ILLALLAH") Jari telunjuk itu jangan diturunkan sehingga memberi salam.

9) Salam - tidak perlu ditundukkan muka sebelum memberi salam. Menoleh sejauh mungkin sehingga 180 darjah ke belakang kerana malaikat ramai di sekeliling kita. Begitu juga ketika menoleh ke kiri. Tidak salah jika bahu dialihkan sedikit bagi membolehkan kita menoleh sehingga 180 darjah. Semasa menoleh ke kanan, alihkan sedikit bahu kiri dan sebaliknya.

10) Berdoa sesudah solat - seelok-elok duduk ialah dengan melapikkan papan punggung dengan kedua-dua kaki. Tangan diangkat separas dada dan berdoalah dalam keadaan tunduk sedikit kerana sekiranya kita berdoa dengan tangan yang tinggi dan mendongak ke langit, itu melambangkan sifat bongkak. Ingatlah, kita sedang menghadap yg Esa.

Seterusnya kain yang digunakan untuk solat juga perlu menepati ciri-ciri yang tertentu. Antaranya:

01) Tidak jarang. Rata-rata kain telekung masa kini adalah jarang. Sekiranya kita memakai kain yang jarang dan dapat dilihat tengkuk dan warna kulit, maka solat kita tidak sah. Seelok-eloknya carilah kain telekung yang tidak jarang (antara caranya ialah dengan menggunakan 2 lapis kain).Ataupun, pakailah anak telekung atau tudung labuh di dalam dan pastikan sewaktu di rumah, apabila kita solat cuma dengan berbaju sleeveless di dalam telekung, pastikan bahu dan tangan tidak kelihatan warna kulit jika diamati dari luar telekung.

02) Kadang-kadang sewaktu musafir, ada muslimah yang malas membawa kain solat, sekadar membawa telekung sahaja (tak payah org lain, saya pun begini). Apabila tiba waktu solat, cuma kain di badan sahaja digunakan dan bagi menutupi kaki, kita memakai stokin. Cara ini memang tidak salah, tapi pastikan stokin yg dipakai tidak jarang. Ingatlah sewaktu kita sujud, kain stokin itu akan menegang (stretch) dan manalah tahu, terdedah aurat kita ketika itu lalu tidak sahlah solat. Sebaik-baiknya pakai stokin yang tebal (ustazah mencadangkan stokin yg lazim dipakai ketika bersukan) ataupun jika tiada, pakai 2 lapis.

03) Ada kain telekung yg indah bersulam dan berkerawang. Ada yg berlubang-berlubang sehingga di belakang telekung. Ada kalanya, bagi mereka yang rambut panjang , jika tidak ditutup betul-betul dgn serkup/anak telekung, rambut-rambut ini akan terkeluar-terkeluar dicelah-celah kerawang telekung. Oleh itu, berhati-hatilah. Sama-samalah kita berusaha memperbaiki solat kita kerana ia adalah tiang agama.Pertama sekali yg akan dihisab di akhirat kelak ialah solat kita. Solat yg baik akan melahirkan peribadi yang baik. Saya akui, terasa agak berat. Pengalaman saya, oleh kerana telekung saya agak jarang, saya kini memakai tudung labuh di dalam telekung setiap kali solat sambil ber azam untuk membeli telekung yang lebih baik kualitinya. Walaupun kadang-kadang terasa panas ketika solat saya gagahkan juga. Yang penting, saya mencuba seboleh-bolehya untuk mendapatkan solat yang diterima Allah, walaupun dari segi khusyuk solat, saya masih merangkak. Yang penting, kita kena ingat, inilah sebahagian persediaan kita untuk akhirat, jadi biarlah berbaloi. Jangan pula nanti kita dihisab pula kerana solat yang tak sempurna. Biar susah sekarang, jangan susah di alam baqa'.Sekian saja yg dapat saya kongsi bersama. Sekira-kira ada salah dan silap, harap dimaafkan. Segala yang baik itu datang dari Allah s. w. t. dan yang buruk itu dari saya.

Wassalamu.

Monday, July 28, 2008

Blog Terbuka SK Kuala Matu...


Thanks Philomina post blog ni...


Hantarlah sebanyak mungkin blog anda ke ruangan ini untuk dikongsi bersama, baik pengalaman ataupun ilmu pengetahuan, asalkan ia berfaedah dan bermanfaat untuk dikongsi oleh semua peringkat...


Soalan-soalan boleh diajukan berkenaan agama dan akan dijawab sebaik mungkin...

Terima kasih semua...

Saturday, July 26, 2008





Kem kepimpinan pengawas asrama sekolah rendah peringkat negeri Sarawak 2008

Pada tahun ini, bahagian Mukah telah memberi penghormatan kepada daerah Matu dan Dalat untuk menghantar peserta ke Kem pengawas asrama sekolah rendah peringkat bahagian Sarawak yang diadakan dari 23 hingga 26 Julai 2008 yang berlangsung di SK Datuk Bandar Debak, Betong.

Setiap bahagian menghantar 8 orang peserta yang terdiri daripada 4 peserta lelaki dan 4 peserta perempuan. Tuan rumah kem diberi keistimewaan untuk menghantar seramai 20 orang peserta.

Sekolah Sk Kuala matu menghantar 2 orang peserta dari tahun 5 iaitu Amir Asyraf bin Noh dan Norsakinah bt Kefni. Daerah Matu juga menghantar 2 orang lagi peserta iaitu dari SK Bruan Mapal iaitu Norazwanny bt Abdullah dan Mohd Rozie bin Zainie manakala daerah Dalat menghantar 2 orang peserta perempuan dan 2 orang peserta lelaki(Paula, Nancy, Peter dan Bennadette).

Pelbagai aktiviti disediakan oleh pihak penganjur perkhemahan seperti aktiviti ice breaking, tautan kasih, latihan dalam kumpulan, dan lain-lain. Mula-mula, semua murid nampak malu dan kekok untuk melakukan aktiviti bersama murid-murid yang baru dikenali.

Murid-murid yang datang dari seluruh pelusuk negeri Sarawak yang juga terdiri dari pelbagai kaum, etnik, agama, keturunan dan latar belakang berkampung di SK Datuk Bandar Debak selama 4 hari 3 malam. Saya difahamkan terdapat 9 kaum yang digabungkan dalam 10 kumpulan, kaum Melayu, Iban, Bidayuh, Cina, Melanau, Kayan, Bisaya, Berawan, Kenyah.

Mereka disatukan dengan satu bahasa iaitu bahasa Malaysia.

Dalam kem ini, pelbagai kerenah dan tingkah laku yang boleh dilihat. Ada pengawas yang menyerlah dan berdaya kepimpinan, ada juga yang nampak pendiam tetapi berpotensi menjadi pengawas yang tegas dan berkeyakinan. Antara peserta yang menyerlah dalam kem kali ini adalah peserta dari bahagian Sarikei yang juga merupakan peserta terbaik kem, adik Beti anak Jenau. Umurnya baru 10 tahun, bertubuh kecil dan genit sahaja tetapi bersuara lantang, berani dan bersifat kepimpinan yang tinggi. Beti menjadi kegemaran fasilitator-fasilitator kem. Ada saja dia dipanggil untuk bercakap di depan dan membuat pengucapan spontan. Mulutnya yang comel itu pandai saja menjawab soalan dan bercerita tentang apa-apa saja yang diajukan kepadanya, tambahan lagi dia tidak mudah marah.

Perkhemahan ini berakhir dengan jayanya setelah dirasmikan penutupannya oleh Pegawai Pelajaran Gabungan Betong Encik Masli bin Rosli pada malam 25hb Julai 2008. apa yang murid-murid sekalian dapat dari perkhemahan kali ini menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh semua yang menyertai kem ini.

Saturday, July 19, 2008

Kem Bestari Solat - 19 Julai 2008


Hari ni telah berlangsung Kem Bestari Solat (KBS) di SKKM iaitu kali kedua bagi tahun ini. Antara peringkat murid yang terlibat menjadi sasaran adalah dari kalangan murid Tahun 1 dan Tahun 2 secara keseluruhannya.


KBS ini bermula jam 8.30pagi dan tamat pada 12.30thgri... Banyak peringkat pencapaian dan penilaian hasil daripada KBS ini seperti kemahiran bacaan dan perbuatan dalam solat mengikut rukun-rukun solat.

Friday, July 18, 2008

Sukan SK Kuala Matu


Pesta Sukan di SK Kuala Matu telah diadakan pada 10 Julai 2008, berlangsung dengan penuh meriah dan keriangan, termasuk penglibatan daripada semua golongan masyarakat dari peringka kanak-kanak sehinggalah golongan veteran.

Banyak acara yang dipertandingkan dengan penglibatan dan kerjasama daripada PIBG SKKM. Empat rumah sukan yang bersaing iaitu Cengal, Meranti, Belian, dan Jati beserta juga wakil pihak PIBG bagi merebut kejuaraan dan ganjaran dalam setiap acara yang disediakan.

Rumah sukan yang menjuarai keseluruhan Pesta Sukan SKKM ialah Cengal, diikuti Meranti, ketiga ialah Belian, dan terakhir adalah Jati.

Walaupun keadaan padang dan balapan yang agak berlumpur dan basah, namun semangat dan keazaman peserta dan murid-murid tetap kuat dengan harapan mereka yang tinggi untuk ditunaikan walau dengan apa jua kondisi pada hari itu...